Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea memberi amaran kepada pasukan lain yang mahu mencabar merebut piala mereka.
Berikutan kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace, semalam, kapten pasukan, John Terry menegaskan bahawa Chelsea sudah kembali.
Kemenangan besar itu sekali gus meneruskan rentetan tanpa kalah The Blues kepada empat perlawanan berturut-turut dengan kehadiran pengurus sementara, Guus Hiddink dianggap antara pencetus kebangkitan berkenaan.
Hiddnk tiba di Stamford Bridge bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Jose Mourinho dan Terry menegaskan pasukan itu sudah mula meraih kembali prestasi seperti diharapkan selaku penyandang juara.
"Adakah ia Chelsea yang sebenar? Saya fikir ya, Chelsea seperti tahun lalu," kata Terry.
"Permainan yang ditampilkan adalah kelas pertama, kami berjaya mengawal penguasaan bola dalam keadaan yang sukar, berangin, hujan namun kami berada di kelas yang berbeza.
"Guus melakukan kerja yang hebat sejak dia tiba ke sini. Apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak bernasib baik. Kami merasakan yang kami mengecewakan ramai orang.
"Pengurus baharu tiba dan seperti yang dia lakukan sebelum ini, dia meningkatkan semangat semua orang dan kamu dapat melihat kami sudah berubah."
Hiddink sebelum ini berkata persembahan buruk Chelsea sebelum ini disebabkan pemain bintang kelab itu enggan melakukan 'kerja kotor.'
"Mereka pemain yang amat berbakat, mereka mula bekerja dengan apa yang saya gelar 'kerja kotor' dan bukan saja permainan cantik yang boleh mereka tampilkan," kata Hiddink.