Ketua Pegawai Eksekutif Adidas Group, Herbert Hainer menyatakan kekecewaan beliau terhadap prestasi semasa Manchester United.
Menurutnya, permainan skuad bimbingan Louis van Gaal belum mencapai sasaran bersesuaian dengan perbelanjaan dikeluarkan untuk kelab berkenaan.
Bagaimanapun Hainer mengakui Adidas masih meraih keuntungan besar hasil penjualan jersi kelab tersebut.
"Kerjasama dengan Manchester United berlangsung sangat baik. Kami menjual pakaian melampui sasaran," kata Hainer yang dipetik akhbar Jerman, Suddeutsche Zeitung seperti dilaporkan Sky Sport.
"Kami berpuas hati, tetapi gaya permainan mereka kini bukan seperti yang kami harapkan," katanya.
Adidas menjadi penaja utama kelengkapan pakaian United dengan nilai tajaan £750 juta (RM4.7 bilion) untuk tempoh 10 tahun.
Sepanjang Disember lalu, United hanya meraih satu kemenangan daripada lapan perlawanan, malah empat perlawanan berakhir dengan kekalahan.
Rekod tersebut adalah terburuk buat The Red Devils sepanjang sejarahnya.
Selain Hainer, United turut menerima kritikan daripada bekas pemain mereka, Paul Scholes yang kini menjadi pengulas Sky Sports.
Scholes berkali-kali melontarkan komen negatif mengenai taktikal Van Gaal yang dianggap defensif.