KUALA LUMPUR - "Jangan jadi musuh dalam selimut," demikian ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Umno Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Katanya, ahli-ahli Umno yang hadir ke Kongres Rakyat 2016 semalam perlu sedar kehadiran mereka hanya memberi kelebihan kepada pembangkang.
"Mereka perlu berani buat keputusan sama ada masih mahu terus bersama Umno atau mengikut telunjuk pembangkang?
"Kenapa masih mahu bersama parti kalau menyokong gerakan pembangkang? Umno tidak mahu pemimpin yang sudah tidak ada jiwa dengan parti kerana tindakan mereka itu seumpama pengkhianat.
"Seharusnya mereka yang hadir itu perlu berani buat keputusan masih mahu bersama parti atau tidak," katanya ketika ditemui Sinar Online di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Semalam, Sinar Online mengesan kehadiran kumpulan kecil ahli Umno ke Kongres Rakyat 2016 yang dianjurkan pembangkang di Pusat Konvensyen Shah Alam, di Shah Alam.
Kumpulan kecil ahli Umno itu turut bangun dan bersorak apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta mereka bangun untuk meraikan ahli Umno yang hadir.