GEORGETOWN - Menghapuskan kampung-kampung tradisi di negeri ini bukan sahaja bakal menghilangkan sejarah warisan malah perbuatan itu juga akan membunuh gaya hidup serta norma masyarakat tempatan.
Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Mohd Noor Merican berkata, penghapusan kampung tradisi juga bakal melenyapkan sejarah dan mungkin akan dilupakan oleh generasi akan datang.
Menurutnya, pihaknya mendapati sebanyak 28 buah kampung dilenyapkan dan beberapa buah kampung lagi dikenal pasti berhadapan dengan ancaman penghapusan.
Antaranya kampung yang telah lenyap dan bakal berdepan dengan penghapusan ialah Kampung Pokok Assam, Kampung Batu Uban, Kampung Permatang Tok Subuh, Kampung Buah Pala, Kampung Tanjung Tokong, Kampung Sungai Nibong Kecil dan Kampung Makam.
“Bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi kita perlu mengambil perhatian juga akan kesedaran terhadap warisan ini sekali gus menilai semua perancangan pembangunan yang telah dan sedang dibuat.
“Adakah kita melakukan perkara yang betul atau sebaliknya dalam merancang pembangunan sehingga kini? Mengapa 28 buah kampung ini menjadi mangsa dan diancam,” katanya pada sidang media khas di USM di sini, semalam.
Dr Ahmad Murad berkata, pembangunan yang sedang dilakukan tidak semestinya merujuk kepada binaan bangunan moden sahaja tetapi ia sepatutnya turut membabitkan pemuliharaan cara hidup dan kemasyarakatan.
Katanya, kesan daripada pembangunan moden yang pesat dijalankan sejak akhir-akhir ini, nilai sejarah kampung berkenaan turut lenyap bersama kampung terbabit.
“Contohnya, kawasan sekitar Kelawai suatu ketika dulu terdapat lebih 20 kampung yang bertapak di situ namun kini hanya terdapat tiga buah sahaja yang masih didiami.
“Selain itu, Kampung Siam di Pulau Tikus antara kampung yang sudah lewat bagi diselamatkan dan jika dikenal pasti lebih awal, mungkin kita dapat menyediakan data serta maklumat lengkap bagi kefahaman masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah CenPRIS, Profesor Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, dasar pihak berkuasa yang bertanggungjawab meluluskan sesuatu projek pembangunan melibatkan negeri ini perlu dikaji semula.
Menurutnya, penilaian semula itu perlu bagi memastikan pembangunan yang diamalkan di negeri ini mengikut landasan sebenar sekali gus dapat menyelamatkan warisan negeri ini.
“Modenisasi bukan tiket untuk semua pihak berlumba-lumba membina bangunan tinggi dan moden sehingga sanggup mengorban warisan sejarah yang ditinggalkan generasi lalu.
“Semua pihak khususnya masyarakat, pihak berkuasa, kerajaan negeri dan pemaju hartanah perlu sedar akan tingginya nilai warisan ini dan amat rugi sekiranya semua warisan terbabit terutamanya kampung-kampung tradisi dihapuskan begitu sahaja dek kerana pembangunan,” katanya.
Katanya, isu pemilikan tanah tapak-tapak warisan termasuk kampung-kampung tradisi ini bukan perkara pokok yang perlu dipertikaikan sebaliknya langkah menyelamat tapak warisan berkenaan dari lenyap perlu diutamakan.
Beliau turut mencadangkan agar satu kajian bagi mengubah pandangan masyarakat mengenai konsep pembangunan bagi menyelamatkan kampung tradisi di negeri ini.
Dr Azeem Fazwan berkata, hasil kajian itu boleh dijadikan panduan dan idea baharu dalam pembangunan kampung tradisi di negeri tanpa melenyapkan kampung berkenaan.
“CenPRIS ingin mencadangkan satu kajian mengenai kampung di Pulau Pinang dengan kerjasama kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berminat dengan isu ini.
“Ia mungkin membabitkan kos jutaan ringgit bagi mengenal pasti salasilah, aktiviti ekonomi, sejarah kampung serta mengumpul data kampung yang berkaitan,” katanya.