KUALA LUMPUR - Seorang peladang kelapa sawit dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi selepas mengaku bersalah memberikan latihan ketenteraan kepada sekumpulan individu yang bersedia membabitkan diri dalam perbuatan pengganas di Syria, tiga tahun lalu.
Hakim Mohamad Shariff Abu Samah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, 32, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Jun 2014.
Tertuduh sebelum ini tidak mengaku bersalah dan prosiding hari ini ditetapkan untuk perbicaraan.
Tertuduh bagaimanapun memilih untuk menukar pengakuan selain turut mengakui fakta kes terhadapnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muamar Gadaffi didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk memajukan sesuatu tujuan ideologi dan perbuatan yang boleh dianggap untuk mengugut orang awam di Syria.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 2 petang dan 4 petang, 25 hingga 27 Disember 2013 di Bukit Ara Para, Kampung Ketior, Kuala Kangsar, Perak.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130F(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.