GLOBAL Seorang suspek cubaan membunuh ditembak mati oleh polis Las Vegas kerana memegang telefon genggam yang disangka sepucuk pistol.
Jurucakap polis Larry Hadfield berkata, insiden berlaku apabila pegawai yang bekerjasama dengan marshal AS menahan lelaki yang dituduh terbabit dalam beberapa kejadian ganas di Arizona, termasuk cubaan membunuh.
Kejadian berkenaan berlaku minggu lalu tetapi dilaporkan media antarabangsa hari ini.
Bagaimanapun, nama lelaki yang ditembak mati itu belum dikeluarkan secara rasmi.
Menurut Hadfield, lelaki terbabit diletak di bawah pemerhatian tetapi berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Dia ditemui di sebuah kediaman di Barat dan didakwa memegang senjata api.
Dalam kejadian itu, polis mengarahkan lelaki terbabit untuk meletakkan senjata, tetapi sebaliknya dia gagal berbuat demikian.
Dua pegawai melepaskan tembakan, menyebabkan lelaki terbabit mati di tempat kejadian.
Apabila polis membuat pemeriksaan, mereka mendapati lelaki berkenaan tidak memegang pistol tetapi hanya telefon genggam.
Ketua Unit Jabatan Pemantauan Dalaman dan Polisi Perlembagaan Matt McCarthy berkata, pegawainya melepaskan tembakan terhadap lelaki terbabit kerana konfrontasi berlaku di kawasan perumahan, membabitkan individu yang disyaki dalam cubaan membunuh dan dia didakwa memegang pistol.
“Suspek tidak mendengar arahan, malahan dia mara ke arah pegawai sambil menyembunyikan tangannya.
“Pegawai menyangkakan dia memegang senjata api,” kata McCarthy menerusi rakaman video.
Pihak berkuasa masih belum mendedahkan nama dua pegawai yang melepaskan tembakan.
Ini adalah insiden ke-16 membabitkan pegawai melepaskan tembakan atau ditembak di Las Vegas pada tahun lalu.