Diugut Sebar Gambar Bogel Juru Jual




PUCHONG - Gara-gara terlalu mencintai dan mempercayai seorang gadis baru dikenali, seorang jurujual kini tertekan apabila gadis terbabit mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya.
Difahamkan, mangsa yang berusia 33 tahun mengenali wanita terbabit menerusi aplikasi WeChat namun tidak pernah bersua muka.

Dalam tempoh tiga hari, wanita terbabit sering menghantar kata-kata manis menyatakan perasaan cinta dan rindu kepada mangsa hingga membuatkannya terpedaya.

Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng berkata, wanita itu juga menyatakan dia sering resah dan tidak boleh tidur lena kerana teringin bertemu mangsa.

Menurutnya, kedua-dua mereka kemudian mengatur pertemuan di sebuah hotel di Sri Petaling.

"Sebelum bertemu, suspek menyuruh mangsa membeli kondom sebagai persediaan melakukan hubungan seks.
"Mangsa kemudian menuruti kehendak gadis itu dan mengambil gambar wajahnya bersama kondom untuk menunjukkan bukti pembelian sudah dibuat," katanya.

Katanya, mangsa kemudian mendesak wanita terbabit memberitahu nombor bilik hotel tempat mereka akan bertemu.

Bagaimanapun, menurutnya, suspek menyuruh mangsa mengambil gambar kemaluannya terlebih dahulu untuk dia melakukan pemeriksaan sama ada lelaki tersebut mempunyai penyakit kelamin atau tidak.

“Pada awalnya mangsa hanya hantar gambar kemaluannya tapi gadis itu minta dia hantar gambar bogel seluruh badan kononnya bagi meyakini lelaki tersebut tidak menipu.

Chee Heng berkata, mangsa sekali lagi mengikuti permintaan suspek tanpa menyedari dia sudah terjerat.
"Gadis itu akhirnya memberi satu nombor bilik hotel setelah didesak berkali-kali oleh mangsa.

"Sebaik sampai di hotel, mangsa terkejut apabila mendapati bilik hotel tersebut didaftar atas nama seorang lelaki warga asing.

"Menyedari dirinya ditipu, dia terus pulang ke rumah," katanya.
Menurutnya, tiga hari selepas kejadian, mangsa terkejut menerima pesanan ringkas daripada gadis sama memintanya memasukkan RM2,000 melalui pindahan wang.

"Suspek mengugut akan menyebarkan gambar bogel mangsa sekiranya permintaannya tak dituruti.
“Takut berdepan keadaan itu, mangsa hubungi saya kata nak bunuh diri kerana malu,” katanya.
Chee Heng berkata, dia percaya mangsa sudah diperdaya  sindiket ‘love scam’ yang menggunakan kaedah menipu duit mangsa melalui cara sedemikian.

“Saya minta orang ramai lebih berhati-hati, ramai yang dah kena macam ini.
"Jangan mudah serahkan gambar kepada orang yang tidak dikenali apatah lagi yang belum tentu wujud atau tak,” katanya.

Difahamkan, mangsa dinasihatkan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.



SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post